Pages

Ahad, 25 Disember 2011

zUhUd...

ZUHUD

Menjadikan dunia ini hanyalah berada pada tangannya bukan pada hatinya yang membawa maksud beramal menuju akhirat yang menjadi tujuan utama tanpa meninggalkan urusan keduniaan dan berupaya untuk meninggalkannnya jika bertentangan dengan ketaatan kepada Allah.

Pengertian zuhud mengikut pandangan ulama’:

1. Hassan Al-Basri: “ jika kita melihat seseorang dan berkata; Dia lebih baik daripada aku”
2. AzZahri: “tidaklah dia meninggalkan yang haram itu kecuali kerana kesabarannya,dan tidaklah membuat kebaikan kecuali dengan rasa syukur.
3. Sufyan bin “Uyainah: “jika diberi kenikmatan dia bersyukur, jika diuji dia bersabar”

Antara maksud zuhud yg terdapat dalam:

1. Al-Qur'an

{ زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ{
(آل عمران:14)

“Telah diperhiaskan manusia cinta kepada perkara perkara yang diingini iaitu perempuan perempuan, anak-anak, emas dan perak yang berpikul pikul, kuda yang baik, binatang-binatang temakan dan sawah ladang, yang demikian itu perhiasan hidup di dunia sedangkan dirinya di sisi Allah tempat kembali yang baik.” Ali-Imran:14

Tafsir ayat:

Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di dunia ini akan pergi dan tidak akan kekal, dan tempat kembali kepada Allah adalah sebaik-baik tempat yang mana tidak fana’ iaitu syurga jika sesiapa yg meninggalkan perkara di atas. Dan didalamnya terdapat orang-orang zuhud di dunia dan bersenang- lenang di akhirat.

2. As-sunnah

Rasulullah s.a.w. bersabda berkenaan zuhud:

عن أبي العبّاس سهل بن سعد السّاعديّ رضي اللّه عنه قال: جاء رجل إلى النبيّ ﷺ فقال: يا رسول الله, دلّني على عمل إذا عملته أحبّني الله وأحبّني النّاس. فقال: ازهد في الدّنيا يحبّك الله, ازهد فيما عند النّاس يحبّك النّاس.

"حديث حسن رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنة"

Terdapat dua wasiat yang amat berharga daripada nabi S.A.W daripada hadis ini:

1. Zuhud didunia menjadi sebab untuk pemberian kasih sayang Allah kepada hambanya.
2. Zuhud dalam kalangan manusia menjadi sebab untuk mendapatkan kasih sayang dan penghormatan manusia

* Apabila ALlah menghendaki seseorang itu baik maka dijadikan hidupnya di dunia dengan sifat zuhud dan mengemarkannya kepada akhirat dan mempcrlihatkan kekurangan dirinya. Zuhud ini juga merupakan sifat lawan bagi sifat Al-wahan (cintakan dunia dan takut mati)

Asas Zuhud dan Kepentingannya

Asas zuhud itu bermula dari dalam hati dan ingatan yang patuh kepada akhirat, kemudian timbul kecintaan berhubung dengan ALlah s.w.t. Ingatan hati secara penuh kepada akhirat tidak boleh berlaku kecuali bila seseorang itu hilang ingatan hati kepada keduniaan dan kecenderungan hawa nafsu. Orang yang bertaubat dari dosa sedangkan dia tidak merasa kemanisan taat maka dirinya tidak terjamin aman dari mengulangi perkara yang sama telah dilakukan dan orang yang meninggalkan perkara dunia sedangkan dia tidak merasa kemanisan zuhud maka dia akan kembali pula kepada keduniaan. Sifat ini juga meberi kesan dalam seluruh kehidupan muslim dengan mengambil dunia sekadar keperluan dan mengorbankan selebihnya pada jalan Allah.

Tanda-tanda Zuhud

3 petanda yang digariskan oleh Imam Ghazali iaitu:

1. Tidak merasa gembira yang berlebihan dengan apa yang dicapai dan tidak merasa dukacita dengan apa yang hilang, tetapi gembira disebabkan diberi nikmat atau tanda syukur. Contoh: zuhud pada harta
2. Sikap yang sama ketika dipuji atau dikeji. Contohnya: zuhud pada kedudukan dan pangkat.
3. Sentiasa mendampingi diri dengan Allah kerana hati sering mengingatiNya dan kecintaan kepada Allah melebihi kecintaannya kepada yang lain tanpa meninggalkannya.

Tingkatan-tingkatan Zuhud:

1. zuhud paling rendah: ialah zuhud daripada perkara-perkara keduniaan yang berlebihan, dan berusaha mengikis sifat kecintaan kepada dunia kerana masih tersisa di dalam hati.
2. zuhud pertengahan: ialah meninggalkan perkara-perkara keduniaan yang berlebihan kerana ketaatan kepada Allah bagi mengelakkan diri terhina atas perbuatan itu dan berharap ganjaran yang lebih daripada Allah di atas ketaatannya.
3. zuhud yang paling tinggi: ialah zuhud yangg hanya bermatlamatkan Allah semata-mata. Baginya perkara dunia itu tidaklah kecuali keseronokan sementara berbanding nikmat akhirat yang kekal selamanya. Juga tidak terkesan kepadanya dirinya jika dia tidak memperoleh kebahagian dunia melainkan kesejahteraan di akhirat.

Pembahagian ZUHUD

Gabungan pendapat Imam Ahmad, Ibnu Mubarak, dan Ibrahim bin Adham:

1. Fardu (wajib): Zuhud daripada perkara yang haram dan juga membawa kepada syirik kepada Allah
2. Afdhol (lebih baik): zuhud dalam perkara yang halal dan ikhlas dalam beramal kepada Allah tanpa bertujuan keduniaan serta melakukan perkara yang sesuai mengikut syara’ disamping meninggalkanya jika bertentangan
3. Selamat: zuhud daripada perkara yang syubhah(ragu-ragu)

Sirah para sahabat mengenai sifat zuhud

Khalid Al-walid seorang panglima tentera yang tekenal dengan kehebatannya bertempur dan menyusun strategi peperangan di zaman awal generasi islam. Bagaimanapun setelah tampuk kuasa khalifah bertukar ke tangan Saidina Umar, beliau menerima surat daripada Khalifah tentang peralihan kuasa yang menyebabkan beliau menyerahkan kedudukan beliau kepada Abu Ubaidah al-Jarrah daripada panglima tentera kepada askar biasa. Beliau tidak mengeluh sedikitpun atau kecewa bahkan beliau berkata: “aku saling berbunuhan bukan disebabkan Umar tetapi Tuhan Umar”.

Jelas menunjukkan kepada kita di sini bahawa Khalid mempunyai sifat zuhud dengan tidak menjadikan pangkat keduniaan itu sebagai tujuan utama beliau bahkan sanggup meninggalkannya walaupun sebelumnya beliau merupakan seorang panglima tentera yang hebat.

Rujukan:

1. حدبث 31 من الوافي في شرح الأربعين النّووية تأليف د. مسطفى ديب البغا و د.محيي الدين مستو
2. تفسير سورة آل عمران:14 من تفسير حدائق الرّوح والرّيحان تأليف محمد الأمين بن عبد الله الهريري الشّافعي
3. كتاب الفقر والزهد من إحياء علوم الدين لحجّة الإمام الغزالي
4. كتاب فقه السيرة النّبوية مع موجز التاريخ الخلافة الراشدة تأليف د.محمد سعيد الرمضان البوطي

Tiada ulasan:

Catat Ulasan