Hukum Solat Dan Doa Pada Malam Nisfu Sya’ban
Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum’ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi
Soalan :
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya’ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan
besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban daripada
hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain
serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat
(dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu
Sya’ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama
yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah
disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif
yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : “فَقَدْتُ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ
فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا
عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ
قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ
أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ
لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ
لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ” – رواه الترميذي وابن ماجه
وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A
telah berkata : “Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka
aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri
di kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke
langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan
Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan
demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada
sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang
mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda :
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan
perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah
mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak
daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing
peliharaan (bani) Kalb.”
-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ
خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ
إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ” – رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah
bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam
nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya
melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang
yang bermusuhan.”
-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ
النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا
فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ
الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا
مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا
أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ” – رواه ابن ماجه .
Hadis
daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :
“Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada
malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala
menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya
matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu
maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu
maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka
Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian
…sehinggalah terbitnya fajar.”
-Riwayat Ibnu Majah.
Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas
solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana
termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan
dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian
daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan
soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan
selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod
(menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib
di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : “كَانَ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ
مَاشِيًا وَرَاكِبً” – متفق عليه .
Hadis daripada Ibnu Umar R.A
telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari
Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”
-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya
menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari
untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta
melakukannya secara berterusan.”
-tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :
“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah
memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan
celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan
Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara
tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di
masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.”
Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk
melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya
seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan
Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun
secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang
ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah
menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak
menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum
kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka
menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan
sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah
makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh
terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun
menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut
adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Sumber :
Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban 1430, m/s 136.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan